Friday, June 11, 2010
Kerajaan Melayu Sriwijaya
Kerajaan Melayu Sriwijaya: Bayangan Kepemimpinan dan Kepengurusannya
Maklumat yang di paparkan di sini diperoleh dan diolah daripada internet dengan meminta "Indonesian history", Srivijaya, Sailendra, khususnya di internet 1.8 di dalam senarai rujukan buku ini dan juga daripada buku Chatterji (1967), Sastri (1949), Slametmuljana (1970, 1981), dan lain-lain yang dinyatakan dalam teks di tempat-tempat yang berkenaan.
Kerajaan Sriwijaya (atau Srivijaya) wujud pada akhir abad ke-7M hingga ke-13M berpusat di Palembang, Sumatera dan pada kemuncaknya keluasan empayarnya benar-benar meliputi rantau yang terkenal sebagai Alam Melayu, iaitu hingga ke Sri Lanka (dikenali pada zaman itu sebagai Sirandip/Suvarndip/Silan, Thailand Selatan, hingga ke Taiwan di utara, dan merangkumi Philippina dan Sulawesi ke timur dan hingga sebahagian besar pulau Jawa di selatan (Shaharir 1987/2000). Kewujudan seorang raja negeri yang sekarang namanya Sri Lanka pada masa dahulu kala yang bernama Serendip yang dikatakan selalu mendapat nasib yang baik itulah menyebabkan Inggeris tertarik untuk menjadikannya satu perkataan baru bagi Inggeris, iaitu serendipaty, yang membawa maksud itu. Pusat pemerintahan kerajaan Sriwijaya yang awal ialah Bukit Seguntang/Siguntang, tetapi kemudian berpindah ke Jambi (yang dicatat di Prasasti di Batang Hari 1286M itu sebagai Malayapura), dan ada pendapat mengatakan Chaiya (daripada "cahaya") di Surat Thani, Thailand Selatan sekarang pun pernah menjadi pusat kerajaan Sriwijaya apabila kerajaan Langkasuka dapat dijadikan jajahan takluknya (Lihat internet 1.12; dan seksyen 1.9). Berkenaan Bukit Seguntang sebagai pusat pemerintahan Sriwijaya itu amatlah bersesuaian dengan cerita dalam Sejarah Melayu oleh Tun Sri Lanang (1612) itu. Kerajaan Campa masih wujud dan menjadi saingan kerajaan Sriwijaya, tetapi ternyata kerajaaan Sriwijayalah yang diiktiraf gagah dan bertamadun yang lebih tinggi seantero dunia sebagaimana yang digambarkan oleh catatan dalam bahasa China sebagai negara komersil dan kerajaan yang besar dengan pelbagai nama (apabila transkripsi ke rumi oleh sarjana barat). Antaranya ialah Syel-li-fo-sye'/She-li-fo-she'/Shelifosche/Se-li-fo-se/san-fopts'i/Sanfotsi/Fo-che dalam kurun ke-10 hingga ke-14M, tetapi pada abad ke-7M (peringkat awal kerajaan Sriwijaya} penulis China merujuknya sebagai He Ling dan Ka Ling, atau nama Sumatera, iaitu Ku-Kang, P'o-lin-pang/Pao-lin-pang/Pa-lin-pang/Pa-lin-fong. Sumber hindu ada yang merujuk Sriwijaya itu sebagai Sribhoja, dan ada yang merujuk dengan nama tempat kerajaan Sriwijaya sahaja, iaitu Suvarnadvipa (Sumatera). Sumber Arab menyebut Sriwijaya sebagai Zabai/Zabag/Sribuza/Sribusa (apabila sarjana barat mentranskripsikannya kepada rumi) iaitu daripada Sribhoja itu, dan ada yang merujuk atas nama tempat kerajaan itu, sebagai Rami/Ramini/Ramni (iaitu Sumatera, walaupun ada yang berpendapat ini juga merujuk kepada Mon) yang pelbagai.
Mengikut Zulkifli (t.t), pada sekitar 692 (selepas matinya Maharaja Raja Jayanaga), kerajaan Sriwijaya terbahagi kepada dua bahagian: kawasan Langkasuka yang diberi nama barunya Amdan Negara diletak di bawah anak tua mendiang raja itu, Maharaja Dipang; dan anak keduanya, Maharaja Dhiraja, memerintah Sumatera dan tanah jajahan Sriwijaya yang lain. Selepas beberapa tahun demikian, sebahagian daripada Amdan Negara, iaitu kira-kira Kelantan sekarang diberi nama Tanah Serendah Sekebun Bunga, dan nama ini masih dipakai di Kelantan dan dalam mak yong dan wayang kulit Kelantan. Pada 730M ibu kota Sriwijaya di Sumatera, Langkapura di Palembang, berpindah kepada Kota Mutajap yang hampir dengan muara sungai Jambi di Sumatera.
Bukti kehebatan pengurusan zaman Sriwijaya (bersama kerajaan Sailendra di Jawa Barat dan Tengah sekarang) juga terpancar daripada penyiapan Candi Borobudur di Yogyakarta, Jawa Tengah dan dibina di sekitar abad ke-8M dan menjadi satu daripada benda ajaib dunia ini. Ilmuan China bernama I-Ching/I-Tsing/Ye-Shing/Yi Jing 688-695M berada di Palembang untuk menyalin ratusan buah buku ilmu dalam bahasa tempatan (Melayu) yang dirujuki sebagai Kunlun (dan berbagai-bagai ejaan yang lain lagi itu termasuk ejaan sarjana Perancis: Koeun Louen) yang asal-usul perkataan ini telah dibicarakan dalm bab 1, seksyen 1.6.
Bukti yang jelas betapa sistem pemerintahan dan pengurusan zaman Sriwijaya berupa suatu keadaan yang dikagumi ialah pengakuan seorang pegawai kastam dari China pada abad ke-13M yang bernama Cau (Chau) Ju-Kua yang mencatatkan pentadbiran Sriwijaya yang hebat dan teknologi yang canggih tentang pelabuhan di Sriwijaya dan tentang kehebatan Wat Angkor. Satu lagi bukti pengurusan yang berbezanya dengan tamadun-tamadun lain sezamannya atau sebelumnya ialah betapa rekod-rekod pengurusan perniagaan dan sebagainya dapat dilakukan dengan lebih mudahnya dengan adanya sistem angka perpuluhan rekaan sarjananya selewat-lewatnya abad ke-7M lagi seperti yang dihuraikan oleh penulis ini di tempat lain itu (Shaharir 1998-2000). Ringkasnya, sistem angka perpuluhan ini dikumpul oleh penulis ini daripada prasasti (batu bersurat) zaman Sriwijaya dan bentuk seperti tulisan Hindia purba (khususnya Pallava) tetapi berbeza daripada angka-angka Hindia itu. Malah kajian kami selanjutnya (Shaharir 2007 dan Alinor 2007) menunjukkan angka perpuluhan Melayu ini boleh dipercayai yang tertua di dunia hasil karya sarjana Melayu Campa atau Funan lagi. Contoh angka Melayu kuno ialah..................untuk angka 1945. Beberapa unit bilangan yang berupa awalan berbentuk bi-/dwi-, tri- catur-/kater-, panca-/sanki-, sisi-, sita-/septa-, witi-/asta-, nuka-, wisyi-/dasa- (terkenal sebagai penjodoh bilangan, atau pekali angka) dipercayai telah wujud dalam zaman Sriwijaya lagi; dan tiada padanan sepenuhnya dengan yang dicipta di Eropah mulai abad ke-13M hingga ke-17M sahaja itu (iaitu by-/bi-, tri-, quadri-, quyl-, six-, septi-, octa-, nony-/noni-) dan tiada juga padanan sepenuhnya dengan yang dicipta dalam tamadun Hindu. (Perinciannya dalam Warkah Berita PERSAMA 2004). Bilangan laksa, keti dan juta sudah ada zaman Sriwijaya tetapi di Barat, million baru dicipta abad ke-13M bahkan tiada unit Barat yang setara dengan laksa dan keti.
Dalam buku Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu karya Tun Sri Lanang 1612 (asalnya manuskrip jawi) ada
menggambarkan corak kepemimpinan dan kepengurusan Melayu sebelum Islam yang boleh dianggap Sriwijaya kerana merujuk Palembang. Di dalamnya ada perihal sumpahan raja pertama Melayu di Palembang, Sang Utama Sri Tri Buana dengan Demang Lebar Daun (Menterinya, yang mewakili pegawai-pegawai kerajaan dan rakyat jelata) yang sekaligus memberi sifat-sifat pemimpin atau pengurus Melayu dan orang Melayu Sriwijaya:
1. Raja tidak boleh sekali-kali memalukan orang bawahnya walau sebesar mana sekalipun dosa orang
bawahannya itu.
2. Raja tidak sepatutnya digodak-godek, dipertanggungjawabkan atau dikutuk dengan kata-kat yang tidak
menyenangkan.
3. Orang Melayu pantang menderhaka kepada rajanya, malah orang Melayu tidak sanggup menunjukkan
apa-apa kelemahan rajanya.
Ini menjadi ciri-ciri kepemimpinan Melayu yang perlu disedari atau diinsafi oleh pemimpin-pemimpin sekarang sekalipun apabila "raja" dalam 1 hingga 3 di atas digantikan dengan "pemimpin". Umpamanya, ketua dalam organisasi Melayu tidak seharusnya menegur seseorang bawahannya di khalayak ramai atau di hadapan para pekerja lain. Ini bertentangan dengan budaya Barat yang terbuka itu.
Friday, June 11, 2010
Langkasuka
Kerajaan Melayu Langkasuka
Maklumat yang dipaparkan di sini dipetik daripada beberapa sumber internet (Lihat Internet Langkasuka dan Internet 1.12) dan beberapa buah buku seperti Che Man (1990), Dahlan (1979), Ibrahim (1950/1961), dan Ahmad Fathy al-Fatani (1994/2001) dan lain-lain yang dinyatakan dalam teks nanti .
Langkasuka (atau mengikut Tarikh Fathani transliterasi Wan Mohd Shaghir 1998, ejaannya Langqasuka sebab jawinya huruf qaf bukan kap) ialah sebuah kerajaan Hindu-Budha Melayu yang kawasannya ialah utara Semenanjung Malaysia (Perlis, Kedah, Perak Utara, Trengganu dan Kelantan dan seluruh Thai Selatan sekarang (Pattani, Yala=Jalor, Narathiwat=Teluban, Songkhla=Songgora dan Satun = Setol). Pusat pemerintahannya di Patani (walaupun ada segelintir sejarawan mengatakan Kedah) yang wujud sejak kurun ke-1M hingga ke-8M walaupun namanya kekal hingga abad ke-15M. Nama kerajaan ini daripada perkataan Sanskrit: langkha yang bermakna “tanah yang indah permai” dan sukkha bermakna “suka” atau “bahagia”. China dahulu merujuk kerajaan ini sebagai Lang-his-chia atau Langya-hsiu/Lang-Ya-Hsiu (tetapi mengikut Tarikh Fathani, China juga merujuknya sebagai Caihatu/Cai Ha Tu). Tulisan Hindia dahulu menyebut nama kerajaan ini sebagai Ilangâśogam. Pengembara China terawal ada mencatatkan lawatannya ke Langkasuka pada tahun 200M. Dalam Hikayat Merong Mahawangsa, salinan tertuanya bertarikh 1598 yang disimpan di UKM dan versi terbaru dalam Rumi diterbitkan 1998 oleh Yayasan Karyawan dan UM) ada menyatakan Langkasuka terletak di negeri Kedah (kawasan tebing sungai Merbok) hingga ke pantai Laut China Selatan. Tidak syak lagi, inilah sumber yang menyokong pihak yang mengatakan pusat Langkasuka itu di Kedah, tetapi banyak sumber lain yang tidak menyokong hipotesis ini. Bukti konkritnya ialah prasasti yang dijumpai di Jerang dan Djere/Jere (di Patani) dan buku Negarakertagama (karya Prapanca 1365, dalam bahasa Jawa Kuno yang dijumpai di Lombok 1894) yang menyatakan Jerang dan Jere (di Patani) ialah ibu kota Langkasuka.
Seorang raja Langkasuka bernama Bhaga Datta 515M masih beragama Hindu Brahma, tetapi setelah Srivijaya menakluk satu tempat penting Langkasuka yang bernama Ligor (kini namanya Nakorn Sri Thamarat) pada 775M dan mengembangkan penaklukannya hingga merangkumi Patani sekarang maka Langkasuka mula meninggalkan Hindunya dan bertukar kepada Budha. Sejak abad ke-8M itulah Langkasuka membayar upti/ufti kepada Srivijaya. Mengikut Zulkifli (t.t), yang dipetiknya drp catatan China, kerajaan ini mencapai pembangunan budaya dan ekonomi yang tinggi dan beragama Budha. Abad ke-8 mula di bawah Sailendra dan Sriwijaya. Sekitar abad ke-11 berada di bawah Rajendra Chola raja India Selatan. Ada catatan sejarah Pali India abad ke-15M bahawasanya ada seorang raja Melayu Ligor bernama Sujitaraja (beragama Budha) berkahwin dengan puteri Khmer dalam separuh kedua abad ke-10M. Keakraban Langkasuka dgn Khmer berlarutan hingga abad ke-11M dan mendapat sinergi yang kuat daripada persemendaan/perbesanan ini.
Raja terakhir Langkasuka atas nama raja Patani ialah Phya Tu Nakpa yang memeluk Islam pada 1457 dan menukar namanya kepada Sultan Ismail Shah Zolallah fi al-‘Alam dan Fatani Dar al-Islam (Ahmad ‘Umar 2002). Akan tetapi mengikut Hikayat Merong Mahawangsa raja Langkasuka yang pertama memeluk Islam ialah yang bernama Phra Ong Mahawangsa pada 1136 dan menukar namanya kepada Sultan Mudzafar Shah (Dipetik drp ensiklopedia Wikipedia di Internet 1.13). Ibrahim (1950/1961) menyebut nama raja Patani yang pertama masuk Islam itu ialah Raja Antira/Indera dan menukar namanya kepada Sultan Muhammad Syah. Namun mengikut Ahmad ‘Umar (2002) raja-raja ini orang yang sama sahaja kerana nama anak-anaknya sama sahaja. Kerajaan Patani wujud hingga 1902 dan separuh daripada kesultanannya amat rapat dengan Kesultanan Kelantan. Namun banyaklah sumber lain lagi yang menyatakan Islam bertapak di Langkasuka/Patani sejak abad ke-11M lagi (contohnya buku Abdullah 1992). Ada pula sumber lain lagi yang dipetik oleh Ibrahim (1950/1961) menyatakan ada raja di Patalung/Batalung (di daerah Kerajaan Langkasuka dan nampaknya lebih awal daripada Phya Tu Nakpa itu) yang beragama Islam dan bernama Sultan Sulaiman. Nama Langkasuka hilang sebaru-barunya selepas abad ke-15M ini dan diambil alih oleh nama barunya, Petani atau Patani. Nama Petani atau Patani ini kemudiannya di-Arab-kan menjadi Fatani/Fathani, atau ejaan kami, Fatdani (oleh sarjana Patani terkenal Syeikh Ahmad al-Fatdani pada akhir abad ke-19M). Sejak abad ke-20 nama itu di-Siam-kan/di-Thailand-kan menjadi Pattani. Sesungguhnya antara abad ke-15M hingga abad ke-18M Patani menjadi sebuah kerajaan yang terkenal sehingga menjadi pusat tamadun rumpun Melayu hingga abad ke-20M dengan kemunculan puluhan sarjana agungnya yang bernama akhirnya al-Fatdani seperti Syeikh Daud al-Fatdani (yang termasyhur seantero dunia Islam dan hidup dalam 1769-1847, dan Syaikh Ahmad al-Fatdani (yang terkenal sebagai sarjana polimates sehingga ada yang mengatakan beliau menguasai puluhan bidang ilmu, di samping juga seorang pejuang bahasa dan kebudayaan Melayu sepanjang hidup dalam 1856-1908) yang senarai penuhnya dicatatkan oleh Ahmad Fathy al-Fatani (2002). Ada banyak cerita asal-usul nama negeri Patani seperti daripada “pantai ni” dan “pak tani”. Dalam manuskrip Ceritera Negeri Patani (nampaknya lain daripada Hikayat Patani yang lebih masyhur itu kerana lamanya buku ini ditulis, mungkin setua Sejarah Melayu oleh Tun Sri Lanang 1612 itu, dan menjadi satu daripada manuskrip Jawi Melayu yang tua, malah salinannya yang ada di Library of Congress AS bertarikh 1730; lain juga daripada Tarikh Fatani karya Syeikh ‘Ali bin Wan Muhammad al-‘Abbasi sekitar 1450-1500M yang salinannya oleh Syeikh Daud al-Fatdani bertarikh 1228H/1813M itu (mengikut Wan Mohd Shaghir 1998) yang dipetik oleh Ibrahim (1950/1961) itu, raja yang pertama membuka Patani ialah raja keturunan negeri “Kota Mahligai” di daerah Perawan (drp perkataan Siam: Pra Wang) yang bernama Raja Seri Wangsa, dan ini sama dengan yang tercatat dalam buku Sejarah Melayu itu yang disebut sebagai Raja Seri Bangsa.
Raja-raja Patani (Langkasuka Islam) bermula dengan Sultan Ismail Shah ialah anak-cucu-cicit-ciak-ciut-nya Sultan Muzafar Shah (menyerang Siam 1563 dengan 200 buah kapal dan ribuan tentera dan menawannya sekejap sebelum dikalahkan balik oleh Siam beberapa tahun kemudiannya), Sultan Mansur Shah, Patik Siam, Raja Bahadur dan diikuti oleh raja-raja perempuan atau ratu-ratu Patani: Raja Hijau (mulai 1584), Raja Biru, Raja Ungu dan Raja Kuning (mati 1651) yang dianggap zaman keemasan Patani. Siam menggelar ratu-ratu ini sebagai Phra Nang Cao Yang yang bererti Baginda Raja Perempuan, tetapi kemudian di-Melayu-kan kepada “Raja Nan Cayang”. Memang ada ahli sejarah yang menamakan raja-raja perempuan itu dengan nama Ratu seperti Ratu Hijau dsbnya itu, tetapi ini bukan nama rasmi dan penulis itu dipengaruhi Inggeris yang merujuk raja-raja itu sebagai Queen itu. Zaman keemasan inilah Patani menyerang/diserang Siam 1603, 1632, 1634 dan 1638 dengan kemenangan Patani, walaupun Siam mendapat pertolongan Belanda (secara sulit). Kehebatan Patani dalam teknologi terpancar daripada masyhurnya mariam ciptaannya yang diberi nama Seri Negara, Seri Patani dan Mahalela. Kekuatan tentera Patani terbukti daripada kemampuannya mengerah ratusan ribu asykar dan pahlawannya dan kekuatan bentengnya yang terkenal Benteng Raja Biru. Tetapi mulai akhir abad ke-17M Patani mulai merosot dan pada 1785 Patani ditakluki, dan pada 1909 Inggeris menyerahkan Patani kepada Siam dalam percaturan politik liciknya di atas kelemahan raja-raja dan pemimpin Melayu. Kekayaan dan kebobrokan raja Patani pada zaman Raja Kuning ada digambarkan oleh seorang Inggeris bernama Hamilton yang melawat rasmi ke Patani apabila beliau mencatatkan adanya ‘sebuah caping emas” yang dibuat oleh Raja tersebut yang “besarnya satu hasta beratnya lima kati”.
Dalam Perang Dunia Kedua, seorang putera mantan Raja Patani terakhir sebelum terjajah (Tengku Abdul Kadir Kamaruddin) yang berpangkat Major dalam pasukan tentera British di India Force 136 Maj. Tengku Mahmood Mahyideen namanya, sungguh memberi harapan besar kepada rakyat Patani membebaskan dirinya dari Siam kerana kemarahan British terhadap Siam yang menyebelahi Jepun. Tengku Mahmood Mahyideen telah mengemukakan rayuan kepada pihak berkuasa British di India supaya mengambil wilayah kerajaan Patani dahulu itu dan digabungkan dengan Tanah Melayu (Malaya) dan usahanya itu memang diketahui oleh pasukan pembebas Patani yang bergerak sejak awal penjajahan Siam ke atas Patani itu. British difahami oleh Tengku Mamood Mahyideen sebagai membayangkan persetujuan rayuan ini. Sesuai dengan Perisytiharan San Francisco pada bulan bulan April 1945 oleh Kuasa-Kuasa Berikat yang menerima prinsip hak menentu nasib sendiri daripada belenggu penjajahan, maka pada 1 November 1945, sekumpulan pemimpin Melayu Patani dipimpin oleh Tengku Abdul Jalal, telah mengemukakan petisyen kepada Kerajaan British merayu supaya empat wilayah di Selatan Siam dibebaskan daripada pemerintahan Siam dan digabungkan dengan Semenanjung Tanah Melayu. Namun apabila Perang Dunia tamat pendirian British terhadap Siam turut berubah. British mahu kepentingannya di Asia Tenggara ini masih terjamin. Siam menggunakan senjata berasnya ke atas tanah jajahan Inggeris di Asia Tenggara untuk tujuan politiknya. Kerajaan British juga berpendirian perlunya dia mengubah dasarnya terhadap Siam atas desakan sekutunya, AS, yang mahu mengekalkan pengaruhnya ke atas wilayah Siam seperti sebelum Perang Dunia dahulu. Kebangkitan Komunis di Asia Tenggara, khususnya di Tanah Melayu sendiri pada tahun 1948, menjadi faktor berubahnya dasar British di Tenggara Asia khususnya terhadap nasib Patani. Dalam hal ini, British mula menganggap Siam sebagai negara penampan ancaman Komunis China ke Asia Tenggara. Justeru, British bertekad untuk memastikan kestabilan politik Siam dan memihak Barat. Khususnya, British berpendapat kerjasama dengan Siam amatlah perlu bagi menghapuskan kegiatan penganas-penganas Komunis di perbatasan Tanah Melayu dengan Siam itu, dan Patani wajarlah dikekalkan dipangkuan Siam!
Dengan perkembangan ini, maka selepas Persidangan Songkla pada awal Januari 1949, pihak British di Tanah Melayu atas kehendak pihak Siam mula mengambil tindakan terhadap pemimpin-pemimpin pejuang Patani. Pertubuhan pembebasan Patani diharamkan dan Tengku Mahmood Mahyideen terus ditekan, manakala ramai para pemimpin barisan pejuang patani termasuk ketua pejuang dan ulama Patani yang bernama Haji Sulung dihukum penjara dan akhirnya mati tanpa kubur. Pergerakan politik Patani semakin lemah dengan kematian Tengku Mahmood Mahyideen sendiri pada tahun 1954 (mati dibunuh juga). Sejak itu pemberontakan para pejuang Patani hanya bertindak sebagai perjuangan gerila yang kekuatannya ibarat air pasang-surut sahaja sehingga sekarang. Satu kisah perjuangan Patani 1902-2002 yang cukup komprehensif dan apadat dapat ditelaah dalam buku Ahmad ‘Umar Capakis (2002), yang antara lainnya menceritakan dasar dan perjuangan beberapa barisan pembebasan patani seperti GAMPAR (Gabungan Melayu Patani Raya) yang ditubuhkan pada 1948 di Kelantan dengan pemimpin pertamanya Nik Mahmud Abdul Majid yang berjuang untuk menyatukan Patani dengan Malaya/Persekutuan Tanah Melayu, BRN (Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani yang ditubuhkan pada 1960 yang berjuang untuk autonomi Patani, yang pemimpin pertamanya Tg Abdul Jalaludin, dan yang terkenal hingga sekarang, PULO (Patani United Liberation Organisation) yang ditubuhkan pada 1967 untuk berjuang bagi kemerdekaan Patani yang diketuai pertamanya oleh Tg Bira Kutanila.
Tambahan Pascaterbit:
Ejaan “Melayu” atau sebahagian negaranya “Malaya” (Semenanjung Malaysia+ Thailand Selatan + Singapura) itu adalah versi ejaan Rumi/Latin yang muncul tahun 1950-an sahaja. Walaupun system ejaan Rumi bahasa Melayu di bawah jajahan Inggeris pertama kali dibuat oleh Wilkinson 1904, dan diperbaiki oleh Za‘aba pada 1949, sistem-sistem itu tidaklah dikuti dengan setianya kerana adanya sistem transliterasi Arab-Rumi oleh penulis-penulis Eropah, sedangkan Jawi ialah huruf Arab dengan tambahan hanya beberapa huruf rekaan orang-orang “Melayu” kerana keperluan sebutan perkataannya yang ejaannya kurang sempurna jika hanya dipakai huruf Arab asli sepenuhnya. Sebelum 1957 nama bangsa dan negara “Melayu” sekarang ini ditulis dengan rasminya dalam Jawi (mim lam alif ya yang bagi orang yang tidak tahu cara bacanya yang sebenar boleh jadi Mlaya, Malaya, Melaya, Mlayu, Malayu, Melayu atau Mlayi, Malayi, Melayi). Oleh itu ejaan Ruminya memanglah pelbagai. Mengikut petua transkripsi Arab-Rumi oleh sarjana Orientalis (sejak abad ke-19 lagi) ejaannya tentulah menjadi Mlay, Mlaya atau Mlai dan bacaannya tentunya mengikut loghat bangsa-bangsa Eropah itu. Bagi orang awam di Eropah, ejaannya berbagai-bagai sehingga mewujudkan ejaan Inggerisnya Malay dan Malaya, Perancis: Malais dan Malaise, Sepanyol: Malaio dan Malayo Portugis Malaio and Malaia. Di singapura, apabila akhbar Jawi hendak di-Rumi-kan oleh Jepun (Zaman Pemerintahan Jepun di Asia Tenggara) pada tahun 1943 ejaan Jawi untuk sekarang ini di-Rumi-kan sebagai “Melayu” atau “Malaya” dieja sebagai Malai lalu akhbar “Melayu” Rumi pertama di Singapura dan “Malaya” namanya Berita Malai. Tentunya bacaan Malai pada masa itu ialah mengikut bacaan Jawinya iaitu Ma-la-yu atau Me-la-yu atau Ma-la-ya atau Me-la-ya. Huruf Jawi dalam tamadun bangsa di Asia Tenggara ini digunakan sejak abad ke-14M hinggalah pertengahan abad ke-20 ini (Indonesia mengisytiharkan huruf Rumi/Latin sebagai huruf rasmi bahasanya apabila tertubuhnya negara baru itu pada 1945; Persekutuan Tanah Melayu (PTM) mengisytiharkan huruf Rumi/Latin sebagai huruf rasmi bahasanya apabila tertubuhnya negara baru itu pada 1957, dan diikuti oleh Sabah, Sarawak dan Singapura apabila apabila tanah jajahan Inggeris itu bersama PTM menubuhkan negara baru bernama Malaysia pada 1963. Hanya Brunei yang masih menggunakan Jawi secara rasmi bersama Rumi sehingga sekarang. “Rumpun Melayu” di negara-bangsa lain seperti Patani (di Thailand) dan Campa (asalnya di Vietnam tetapi kini boleh dikatakan hanya di Kemboja sahaja) dan Mindanao (Filipina) masih juga menggunakan Jawi dalam urusan agama/Islam di samping huruf rasmi negaranya masing-masing).
Friday, June 11, 2010
Funan
Kerajaan ini sempat dikesan kerana terdapat dalam rekod-rekod Cina.Kerajaan Melayu Funan bukanlah kerajaan orang gua yang membina ran di atas pokok,tetapi kerajaan hebat yang menjalankan urusniaga sehingga ke kota-kota Rom dan Yunani berdasarkan artifak-artifak Eropah Kuno yang dijumpai di Vietnam.Rekod-rekod Cina menyebutkan kerajaan ini sebagai Funan atau B'iu-nam dan kewujudan telah disedari seawal abad pertama Masehi.Nama ini juga muncul dalam rekod-rekod China sekitar 221-280 Masehi dan hilang pada abab ke-7 Masehi.Mengikut Briggs (L.P.Briggs;1999:12) ada kemungkinan Funan hilang dari sejarah sekitar tahun 627 Masehi atau tidak lama selepas itu.Kewujudan kerajaan purba ini cuma dikesan melalui sumber-sumber Cina dan sejumlah prasasti-prasasti yang ditinggalkan.Di samping menggunakan nama-nama Sanskrit,raja-raja negeri ini juga menggelarkan diri mereka sebagai Sailenraja atau 'Raja Gunung'.Dalam bahasa tempatan ia digelar 'kurung bnam' yang juga bermaksud 'raja gunung'.Bangsa Funan dikenalpasti dari rumpun Melayu (D.G.E Hall;1979:34)
Pusat pemerintahannya terletak di bahagian hilir Sungai Mekong,namun kawasan pemerintahan meliputi selatan Vietnam,lembah tengah Mekong,lembah Chao Phraya dan Semenanjung Tanah Melayu.Walaupun kota dan pelabuhan utamanya,Oc-Eo terletak di pinggir Teluk Siam,akan tetapi ibukotanya Wijayapura (Wyadhapura) terletak lebih kurang 200 km dari laut berhampiran bukit Ba Phnom.
Perkhabaran pertama tentang kerajaan Melayu Purba ini diperoleh daripada tulisan perwakilan Cina yang melawat negara itu sekitar pertengahan abad ke-13 Masehi.Perwakilan itu terdiri daripada K'ang T'ai dan Chu Ying.Menurut laporan K'ang T'ai,yang dikutip oleh T'pai P'ing Yu Lan (ditulis antara 977-983 Masehi),raja pertama Funan adalah Houen-Chen (Hun-T'ien) atau nama Sanskritnya Kaundinya.Dikatakan beliau datang dari India ataupun dari Tanah Melayu atau dari Kepulauan Indonesia pada hari ini.Legenda tempatan menyatakan bahawa Kaundinya telah berkahwin dengan seorang Wanita bernama Daun Teratai atau dalam rekod Cina disebut Liu-Yeh.Selepas itu dikatakan Kaundinya ini menjadi raja.
Dalam rekod Dinasti Chin ada menyebut tentang Funan ini:
Lebar wilayahnya 3000 li,Terdapat kota-kota bertembok,istana dan rumah di dalamnya.Lelakinya hodoh dan hitam,rambut mereka keriting.Mereka mundar-mandir tanpa pakaian dan berkaki ayam.Mereka hidup secara mudah dan tidak mencuri.Mereka menjalankan pertanian.Disamping itu mereka gemar mengukir perhiasan dan memahat.Banyak pinggan-mangkuk yang mereka gunakan untuk makan diperbuat dari perak.Cukai dibayar dengan emas,perak,mutiara dan minyak wangi.Mereka mempunyai buku,arkib dan sebagainya.Tulisan mereka menyerupai tulisan Hou.Perkahwinan dan upacara pengebumian mereka pada keseluruhannya sama dengan yang terdapat di Lin-yi. (B.R Chatterji;1964;18)
Namun dalam versi lain yang tertulis dalam inskipsi Champa ada mencatatkan seorang Brahmin bernama Kaundinya telah berkahwin dengan seorang puteri bernama Soma,anak raja naga.Daripada keturunan merekalah Funan dan segala takluknya diperintah.
Sebelum kedatangan pengaruh India,kedudukan wanita dalam masyarakat agak tinggi,malah mereka menerima pemerintahan seorang wanita menunjukkan budaya Melayulah paling toleran dan amat demokrasi berbanding budaya-budaya lain.Satu contoh lain yang terkenal adalah Ratu-ratu Pattani yang digambarkan dalam filem Queens of Langkasuka.Di dalam legenda Funan ada menyebutkan
bagaimana Liu-Ye seorang raja perempuan Funan telah memimpin sekumpulan pelaut Melayu menyerang kapal-kapal perdagangan yang melintasi laut mereka.
Kerajaan Funan inilah yang dapat dikesan setakat ini sebagai tamadun rumpun Melayu yang pertama (yang wujud dalam abad ke-1M hingga pertengahan abad ke-6M) atau jika hendak dikembangkan lagi atas nama Kerajaan Chenla (mengenangkan pengasasnya memang warisan Funan) sehingga 800M. Pusat pemerintahan Kerajaan Funan ialah di Vyadhapura, berhampiran dengan Phnom Penh sekarang, yang dihubungkan dengan terusan ke sebuah pelabuhan bernama Oc-eo atau Oc Eo di Vietnam sekarang, Provinsi Long Xuyen. Kerajaan Funan merangkumi sebahagian besar Indo-China sekarang hingga ke negeri-negeri di utara Semenanjung Malaysia sekarang. Dalam abad ke-3M hingga ke-6M seluruh Thailand Selatan dan negeri-negeri di utara Semenanjung Malaysia sekarang ini berada di bawah Funan. Nama Kerajaan Funan ini sekaligus memberi makna “Melayu” itu sendiri. Perkataan Funan itu ialah ejaan bahasa Melayu moden kepada transkripsi bahasa China abad wujudnya Funan itu: Founan, Fou-nan atau Fou-Nan yang merujuk kepada Phnom bahasa “Melayu”-Mon-Khmer purba yang dalam bahasa Melayu kini ialah “Gunung”. Perkataan Phnom itu hidup sampai sekarang di Kemboja seperti pada nama ibu negaranya sekarang, Phnom Penh, itu yang jika diistilahkan dalam bahasa Melayu sekarang ialah “Gunung Banang” (“Gunung Banang” amat popular dalam puisi, nyanyian dan lagenda Melayu sehingga menjadi judul lagu asli, mungkin kerana nostalgia Melayu kepada Phnom Penh dan adanya legenda Melayu kononnya seorang adik Puteri Gunung Ledang itu namanya Puteri Gunung Banang yang diam di Gunung Banang di Johor). Ini menunjukkan bangsa yang berkerajaan di Kemboja itu ialah bangsa Uran Phnom (Orang Gunung; perkataan uran ialah transkripsi perkataan “Melayu” purba yang sudah ada di prasasti Campa abad ke-4M dalam aksara Hindia Palawa itu) yang disebut dengan pelat/loghat Chinanya sebagai Orang Funan. Apabila keturunan raja Funan ini lari dari Kemboja dan menubuhkan kerajaan barunya di Jawa Barat, maka kerajaan baru itu dinamai Sailendra (abad ke-7M hingga ke-8M) kerana ingin juga merujuk kepada asal-usulnya, “Orang Gunung” itu, kerana perkataan Sailendra/Silindra itu pun memang bermaksud “Tuan Mulia Orang Gunung”, malah ada istilah “Sailaraja” yang bermaksud “Raja Orang Gunung”.
Berkata perihal 'Bangsa Gunung',satu lagi bukti tentang orang Melayu asalnya “orang Gunung” ialah daripada tulisan Manansala,seorang sarjana sejarah.Beliau mencatat satu sumber China abad ke-3M lagi yang mengandungi rujukan kepada bangsa Melayu ini sebagai Kunlun dalam ungkapan Kunlun-po yang bermaksud “kapal Orang Gunung” (po ialah sebutan China kepada perkataan “kapal” sekarang; manakala kunlun itu satu lagi lafaz China dahulu (loghat/dialek lain) kepada pnom/phnom atau “gunung” itu, selain daripada Funan itu. Kapal Kunlun ini diperihalkan oleh sejarawan China abad ke-3M yang bernama Wan Chen yang katanya sampai kadang-kadang 200 kaki (sekitar 60m) panjang dan setinggi 20 kaki (sekitar 6m), dan boleh bermuatan sehingga 600-700 orang dan kargo seberat sehingga 900 tan (Fakta ini memang selalu dipetik oleh para pemuka teori “Budaya Gelombang” termasuk Geldern bagi membuktikan kemampuan berlakunya penghijrahan orang dahulu kala mengharungi lautan-samudera raya sekalipun, walaupun kesimpulan yang lebih pentingnya, ialah betapa tingginya tamadun rumpun Melayu sejak abad ke-3M lagi itu yang sekaligus membayangkan kehebatan ilmunya termasuklah kepemimpinan dan kepengurusannya. Kapal sebegini masih dapat disaksikan lukisannya di dinding candi Borobudur di Yogyakarta, Jawa Tengah, iaitu hasil binaan arkitek rumpun Melayu zaman Sriwijaya dan Sailendra abad ke-8M itu, yang mendahulu Wat Angkor di Kemboja itu. Candi Borobudur ini dianggap satu daripada benda ajaib di dunia, malah segi seni binanya lebih ajaib daripada piramid/ahram itu. Catatan sarjana China terkenal abad ke-7M bernama I-Ching (yang berada di Palembang beberapa tahun untuk menyalin kitab-kitab yang diminatinya dalam bahasa Melayu purba atau kuno ini), dengan jelas merujuk bahasa dan bangsa di Palembang itu sebagai bahasa dan bangsa Kunlun juga . Pengkaji sejarah Malaysia umumnya menggunakan istilah “Melayu purba” dan “Melayu kuno” (iaitu “ancient Malay”) dengan maksud yang sama, iaitu untuk rumpun Melayu dari abad ke-2M hingga abad ke-12M (kedatangan Islam). Lebih awal daripada sumber China ini, mengikut Manansala itu juga, dalam sebuah tulisan orang Yunani dalam abad pertama Masihi, Periplus Maris Erythraei, yang diterjemah kepada Inggeris 1912 sebagai The Periplus of the Erythraean Sea (Pelayaran ke Lautan Hindia) yang diterbitkan oleh Longman dan baru-baru ini diberi ulasan lagi oleh Casson terbitan Princeton Univ. Press 1989 ada memerihalkan kapal-kapal dari tempat yang dinamainya Chryse di Kepulauan Melayu ini dan kapal itu dinamainya Kolan-diphonta atau terjemahan harfiahnya “kapal-Kolan”, dan perkataan Kolan itu ialah versi Yunani kepada versi China, Kunlun itu.
Mengikut sumber China, raja-raja Funan yang dicatatnya ialah Fan-shih-man (205M-225M), Fan Shi-Shen 225M (mati dibunuh oleh sepupunya Fan Chan), Fan Chan (225M-330M), Fan Hsun (240/245M-250/285M), Jayavarman (iaitu Jayavarman I, yg memerintah 478M-514M), Rudravarman (yang memerintah 514-539M dan dianggap raja Funan terbesar yang terakhir). Mengikut sumber lainnya (Hindu dan prasasti), terdapat beberapa orang raja Funan lagi seperti Chandan yang memerintah sekitar 350M, Bhavavarman I sekitar 560M-570M dan Isanavarman (616-635M), walaupun sesetengah ahli sejarah mengatakan Bhavavarman I dan Isnavarman ialah raja Chenla, kerana dalam tempoh itu Chenla dan Funan dalam proses penyatuan, penyerapan atau pendominasian seperti yang dibicarakan nanti, malah Isanavarman dianggap menawan Funan pada 628. Pada kemuncaknya (kira-kira abad ke-5M), Empayar Funan merangkumi delta Mekong (sebahagian besar daripada Kampuchea dan Vietnam sekarang yang masa itu dikenali sebagai Campa dan Dai Viet), sebahagian besar Thailand sekarang (masa itu terkenal dengan Siam), Myanmar Selatan sekarang, hingga ke sebahagian besar Semenanjung Malaysia sekarang yang pada masa itu dikenali sebagai Langkasuka.
Keagungan Funan dalam bidang ilmu pengetahuan menyebabkan Dinasti China mengimport sarjana-sarjana Funan seperti Nagasen (sarjana yang diutus ke China 480M), dan Madrasena (sarjana yang diutus ke China pada 503M) untuk menjadi pensyarah kepada pegawai-pegawai dan cendekiawan China.Lihat,dahulu bangsa Melayu adalah bangsa yang pakar dalam pelbagai bidang ilmu sehingga Emperor China pun terpaksa meminjamkan sarjana Melayu untuk mendidik bijak pandai mereka.
Tidak hairanlah ketika era Srivijaya,kelayakan seorang pendeta Buddha di China tidak lengkap jika tidak mendapat pengiktirafan dari universiti-universiti Srivijaya.
Pengganti kerajaan Funan ialah sebuah negeri peufti Funan juga (Chenla namanya, tetapi mungkin sekali suku kaum yang berbeza, walaupun serumpun agaknya), malah raja Chenla yang menawan Funan itu, Bhavavarman I, ialah cucu raja Funan bernama Rudravarman yang hebat itu. Agaknya Bhavavarman I sedar akan kemungkinan besarnya yang beliau tidak mungkin menjadi raja Funan, maka beliau pun berkahwin dengan seorang putri raja Chenla (negeri di daerah Laos sekarang tetapi dewasa itu di bawah naungan Funan) yang bakal menjadi raja kerana ketiadaan putra raja, dan seterusnya beliau menjadi raja Chenla itu sehingga mampu menawan Funan pula. Dengan kemenangan itu, Bhavavarman I (walau berasal daripada keluarga raja Funan tetapi dipengaruhi oleh permaisurinya) mula menghakis kebudayaan Funan dengan men-Chenla-kan (meng-Kambuja-kan?) kerajaan Funan sehingga pada zaman raja Funan-Chenla bernama Isnavarman itu dikatakan berjaya sepenuhnya dalam penyatuan Funan dengan Chenla dengan penubuhan ibu negaranya yang baru bernama Sambor sekitar 40Km drp Angkor. Tidak hairanlah tarikh penawanan Funan oleh cucu raja Funan itu seringlah dianggap tarikh kejatuhan Funan dan bermulanya kerajaan baru, kerajaan Chenla, yang berupa tunas pembentukan kerajaan Khmer purba yang dikenali sebagai Kambujadesa dan kemudiannya dirujuki oleh ahli sejarah barat sebagai Empayar Angkor.
Seperti yang telah dijelaskan di atas, kerajaan Funan dijatuhkan oleh sebuah negeri peufti Funan yang dikenali oleh Khmer sebagai Kambuja atau Chenla mengikut catatan China pada pertengahan abad ke-6M. Kerajaan baru ini mula dikenali pada 613M apabila ibu negaranya berpindah ke Isanapura di Sambor Prei Kuk di daerah yang kini dinamai Kampong Thom di Kampuchea. Namun kerajaan baru ini tidak dapat bertahan di pesisiran pantai kerana serangan orang-orang dari Malaysia dan Indonesia sekarang yang mereka merujuknya sebagai Jva sahaja (sama seperti Arab menyebut orang Jawa atau Jawi hingga sekarang) yang tentunya dari kerajaan Sailendra/Saliendra berpusat di Jawa yang sedang menjadi kuasa besar pada kurun yang sama itu. Sebenarnya kerajaan Sailendra ini diasaskan oleh raja Funan yang lari ke Jawa apabila dikalahkan oleh raja Chenla itu. Oleh itu kerajaan Chenla/Kambuja pengganti Funan itu mengundur ke bahagian pedalaman Kampuchea sekarang dan membina kekuatan di situ bermula daripada seorang rajanya yang bernama Jayavarman II (sebenarnya seorang raja warisan daripada raja Kambuja atau Chenla yang menjatuhkan Funan dahulu, malah Jayavarman I ialah raja Funan 478-514) yang apabila berjaya memperkuatkan takhta kerajaannya lalu mengisytiharkan dirinya sebagai deva-raja pada 802 dan memerintah sehingga 834. Jayavarman memang bermakna “pelindung yang berjaya”. Ada ahli sejarah menganggap beliaulah raja tamadun Khmer purba yang pertama yang juga sering di rujuk sebagai raja Tamadun Angkor yang pertama, atau pelandas/pembangun Tamadun Angkor.Kemuncak kerajaan Chenla ini ialah di bawah rajanya yang bernama Jayavarman I sekitar 750M. Tidak hairanlah ahli-ahli sejarah Kampuchea menganggap kerajaan Funan itu sebagai kerajaan pra-Chenla, pra-Kambujadesa atau pra-Angkor, kerana tamadun Kampuchea bermula dengan Tamadun Funan dan berkemuncakkan dengan Tamadun Kambuja yang berpusat di Angkor yang terkenal dengan binaan Wat/Vat Angkor pada abad ke-12M yang terkenal sebagai satu daripada benda ajaib dunia, walaupun secara rasminya nama Kambujadesa ini mungkin sekali bermula pada pertengahan abad ke-10M sahaja, iaitu zaman Raja Khmer purba yang bernama Rajendravarman seperti yang diterangkan sebelum ini. Namun sesetengah ahli sejarah mengatakan nama Kambujadesa atau Kambuja (dengan ejaan Rumi Melayu-nya mulai abad ke-20M sebagai Kemboja kerana masalah perubahan ejaan dari yang asal kepada Jawi dan ke Rumi) itu dipakai antara 9M hingga 13M. Jelaslah Kambujadesa (atau Kambuja sahaja, yang mengikut ejaan Rumi Melayu-nya, Kemboja, dan ejaan yang dipengaruhi oleh Perancis atau Inggeris ialah seperti Kamboja, Cambodia, Cambodge dan kini Kampuchea) memang sukar dipisahkan dengan Funan dan kerajaan rumpun Melayu purba. Tamadun Funan dengan tamadun Angkor memang akrab sehingga seni bina Angkor dengan Funan memang sukar dibezakan seperti yang dipaparkan dalam buku Briggs (1951/1999). Ini menimbulkan persoalan tentang pengiktirafan ahli sejarah yang mengiktiraf tamadun Funan sebagai tamadun rumpun Melayu terawal tetapi tidak pula mengaitkannya dengan tamadun-tamadun Mon-Khmer purba selepas itu (Kambujadesa dan Angkor), mungkin semata-mata kerana bahasa Mon-Khmer dikatakan serumpun dengan Orang Asli Malaysia seperti Sakai itu, iaitu bahasa Austranesia, sedangkan bahasa Melayu dikelaskan sebagai bahasa Polinesia. Atau bagi setengah pihak, bahasa Melayu sebagai bahasa Austranesia tetapi bahasa Mon-Khmer bukan bahasa tersebut.Jika dihitung prasasti yang dirakamkan oleh Majumdar (1953), zaman kerajaan Funan-Chenla ada meninggalkan 200 buah prasasti (batu bersurat) yang 80 daripadanya dalam bahasa Mon-Khmer purba yang dikatakan ada hubungan dengan bahasa Melayu Purba itu dan yang tertuanya bertarikh 531 Syaka/Saka/Shaka (=609M). Prasasti zaman Funan sebenar (sebelum abad ke-6M) dianggarkan oleh Muhammad Alinor (pengkaji gigih tamadun Funan di UKM) hanya sebanyak 11 buah yang juga dalam bahasa Sanskrit dan Mon-Khmer. Di antara prasasti Funan-Chenla itu ada simbol sifar yang tertua tarikhnya (awal abad ke-7M) dan sekaligus kita boleh menyimpulkan sistem angka perpuluhan yang tertua di dunia wujud pada prasasti zaman tamadun Funan-Chenla ini kalaupun bukan zaman kerajaan Funan sebenar-benarnya. Walau bagaimanapun, setakat ini, yang jelasnya bahasa pada prasasti Funan itu ialah Sanskrit dan Mon-Khmer sahaja, walaupun mengikut Sharan (1974) Funan ada bahasanya sendiri (rumpun Melayu?) yang menggunakan aksaranya sendiri (dipercaya diperkenalkan oleh Saka atau Syaka, seorang Brahmin India di Funan) yang berasaskan aksara Sanskrit itu.Selain daripada itu Funan juga ada sistem percukaian tersendiri (termasuk impot-ekspot), dan perakaunan yang cukup mantap. Sebahagian daripada kemampuan ini ialah kerana ternyata Funan mempunyai sistem angka perpuluhannya yang tersendiri yang mengandungi angka (simbol nombor) sifar/kosong yang tertua di dunia (selewat-lewatnya pada awal abad ke-7 lagi seperti yang disebut di atas, dan besar kemungkinannya dalam abad ke-6 lagi) jauh lebih awal daripada sistem angka Muslim atau Hindu yang biasanya dikatakan tertua di dunia itu. Kajian pentadbiran Tamadun Kambujadesa mulai abad ke-7 Masehi yang dilakukan oleh Sharan (1974) itu sedikit-sebanyaknya dapat juga memberikan gambaran lebih terperincinya lagi akan pencapaian pengurusan dan pentadbiran Funan, walaupun kajiannya semuanya berasaskan prasasti Kambuja yang dalam bahasa Sanskrit sahaja. Kajian sepertinya untuk prasasti dalam bahasa Mon-Khmer purba itu nampaknya belum dilakukan hingga kini.Petikan darihttp://mistisfiles.blogspot.com/2009/08/alter-terahsia-bangsa-melayu-viii.html
Friday, June 11, 2010
Rahasia Terbesar (Tersembunyi) Bani Jawi (Melayu/Nusantara)
-Siapakah Bani Jawi?
-Apa Misi rahasia Bani Jawi?
Siapakah Bani Jawi/Jawa/Melayu? Dari manakah asalnya Melayu itu? Ketika ramai ilmuan memperdebatka
memperdebatkan kaum-kaum yang hilang seperti The Lost Tribe of Israel,Atlantis,Lemuria,Sodom and Gomorrah malah masih mencari-cari siapakah Gog and Magog,rahasia bangsa misteri ini masih terpelihara di dalam tabut rahsia sejak beribu-ribu tahun. Tiada siapa yang tahu dari mana asalnya bangsa ini?
bani jawi = adalah sebutan yg diberikan orang2 arab sejak jaman dulu untuk menyebutkan orang2 islam yg berasal dari nusantara/asia tenggara. jadi bani jawi tidak merujuk pada suku jawa saja tetapi juga semua ras keturunan melayu di asia tenggara
Di atas adalah petikan dari Kitab Kejadian dari Kitab Injil yang merupakan penyimpan Rahasia terbesar berkenaan satu bangsa yang bergerak ke Timur dunia bagi mengembangkan keturunan manusia seperti yang diperintahkan Tuhan....
Bangsa Paling Rahasia inilah yang menurunkan pelbagai bangsa Asia dari tempat asal mereka iaitu Asia Barat dan Asia Tengah di mana dari situlah bermulanya peradaban manusia.
Bangsa ini, yang merupakan pemegang rahasia akhir zaman adalah satu bangsa besar yang pernah membangun kota-kota purba dan menyertai peperangan-peperangan agung sejak surutnya Banjir Besar bersama-sama bangsa agung yang telah pupus seperti Sumerian dan Akkadian.
Sesungguhnya kisah pengembaraan bangsa ini merupakan satu epik yang teramat panjang,lebih panjang dari epik Homer,The Iliad and the Odyssey.
Bagaimana bangsa ini boleh wujud di tanah paling selatan benua Asia,'di penghujung dunia'. Bangsa yang hilang masih tidur dan ditidurkan...
'Di hujung dunia',setelah penat mengembara,bangsa misteri berehat dan berehat...tidur dengan lenanya...senyap sunyi tanpa siapa mengganggu walaupun Hitler telah pergi ke Tibet mencari bangsa misteri ini, tetapi dia juga
ketinggalan jejak mereka...
...... dimanakah bangsa misteri ini meneruskan perjalanan mereka? Masih adakah masa lagi untuk menjejaki mereka?
Mengapa Israel bersusah-payah membangun pangkalan dan pengaruhnya di Singapura?
Apa kaitan Cina Singapura dengan Yahudi Zionis?
Adakah terdapat apa-apa perancangan ketika Stamford Raffles menjejakkan kakinya di Pulau Singapura?
Apa hubungan Bangsa Melayu dengan Bangsa Yahudi?
Apakah dia alter Paling Rahasia Bangsa Melayu?.
Apa yang terjadi 2000 tahun sebelum Masehi di antara Melayu dan Yahudi?
'Dihujung Dunia' bangsa ini masih nyenyak tidur!
... Rahasia yang terpendam beribu tahun tentang satu bangsa pengembara yang mencari 'Tanah yang Dijanjikan' semakin lama semakin terbongkar dengan penemuan pelbagai artifak yang penuh misteri dan mengundang pertanyaan seperti penemuan keris di sebuah kuil purba di Okinawa Jepun,kendi purba yang sama di Vietnam,Kemboja dan Pahang,penemuan kota purba yang dinamakan Jawi/Jawa di Jordan dan juga penemuan keris purba di Rusia selain gendang Dong Son dan Kapak Tua Asia Tengah yang popular itu. APA MAKSUD KEPADA SEMUA MISTERI INI?....
.. Bangsa paling rahasia inilah yang menurunkan pelbagai bangsa Asia dari tempat asal mereka iaitu Asia Barat dan Asia Tengah di mana dari situlah bermulanya peradaban manusia....
... Bangsa ini, yang merupakan pemegang rahasia akhir zaman adalah satu bangsa besar yang pernah membina kota-kota purba dan menyertai peperangan-peperangan agung sejak surutnya Banjir Besar bersama-sama bangsa agung yang telah pupus seperti Sumerian dan Akkadian.....
.....Ketika Ptolemy,seorang ahli geografi Yunani melukis peta semenanjung Tanah Melayu,beliau telah menamakan semenanjung ini 'Golden Chersonese' yang bermaksud Semenanjung Emas ketika manuskrip-manuskrip India Purba menamakan tanah ini sebagai 'Suvarnabhumi' iaitu Tanah Emas.Sebuah manuskrip Yahudi Purba menceritakan sumber bekalan emas untuk membangun negarakota Kerajaan Nabi Sulaiman diambil dari sebuah kerajaan purba di Timur Jauh yang dinamakan Ophir. Kajian dari manuskrip kuno Firaun Mesir dan hieroglif di dinding-dinding kuil telah mendapati bahan pengawet,kapur barus dan rempah-rempah untuk upacara ritual mengawet mayat diimport dari sebuah kawasan di sebelah Nusantara ini.